web analytics

Khat merupakan salah satu daripada hasil kesenian yang indah dan halus. Seni ini lahir dan berkembang dalam penulisan Arab dan terkandung dalam ruang lingkup peradaban Islam. Setelah kehadiran Islam, penulisan Arab telah memasuki tahap perkembangan yang begitu cepat. Pada abad pertama dan kedua Hijrah, khat merupakan salah satu ciri untuk memperindah sesuatu penulisan. Melalui khat, sesuatu maksud dapat diungkapkan. Khat turut menjadi unsur penting daripada cabangcabang kesenian yang masih terpelihara hingga ke hari ini. Khat ialah perkataan Arab yang bermaksud garisan. 

Seni khat bermaksud garisan indah yang membentuk tulisan. Ia juga bermaksud tulisan-tulisan (kitabah) yang terikat dengan peraturan dan kaedah yang telah dikaji dan ditentukan oleh mereka yang terlibat dengan kemajuan seni. Tulisan-tulisan Arab pula mempunyai nilai dan kaidah tertentu yang mempunyai estetika yang tinggi. Seni khat bukan sekadar wacana penyampai maklumat tetapi mengandungi nilai-nilai abstrak yang disimpulkan dengan kehalusan, kelembutan, kesinambungan, perhubungan, pergerakan, keharmonian dan sebagainya. 

1. Pertumbuhan Khat Dan Tulisan Arab Pada Zaman Jahiliyah

Terdapat berbagai pendapat antaranya: 

  1. Khat yang berbentuk tawqifi’. Kelahiran khat ini ada kaitan dengan sumber ketuhanan. Aliran ini berpendapat bahwa Nabi Adam a.s. adalah pengasas segala bentuk tulisan. Nabi Adam mempelajari daripada Allah dan menulisnya ke dalam pelbagai buku. Setelah banjir surut, setiap bangsa menerima buku masing-masing. Buku bertulisan Arab menjadi milik Nabi Ismail a.s. 
  2. Seni khat terdiri daripada khat al-Musnad juga dikenali sebagai khat Arab Utara atau Khat Humairi. Khat ini telah tersebar di persekitaran al-Mundhir dan Syam (Syria). Ini berlaku semasa rombongan perniagaan di antara orang Arab Yaman dan orang Arab yang bermukim di Syria, dan Iraq di utara Semenanjung Tanah Arab. Melalui mereka, khat ini dibawa secara langsung ke bumi Hijaz. 
  3. Berkembang hasil daripada khat Nubti (Nabatea). Berdasarkan kepada pendapat G.J Klehr pada pertengahan pertama abad ke-18 terdapat hubungan antara khat Arab dengan khat Nubti (172M). Menurut Th. Noldeke khat Arab berkembang daripada khat Nubti  (1865M). Berdasarkan kepada kajian tentang hasil-hasil ukiran sebelum Islam dan pada abad pertama Hijrah, menunjukkan khat Arab terbit daripada khat Nibti. Ukiran tertua yang dapat dijadikan bukti peringkat-peringkat penyebaran dalam perkembangan khat Nibti yang berlaku pada penghujung abad yang ke-3 dan abad ke-4 masihi telah dijumpai di Umm al-Jamal (250M) dan Nammarah (328M). Kedua-dua ukiran ini, adalah dalam bahasa dan tulisan Nibti. 

2. Zaman Rasulullah Dan Sahabat

Islam telah datang membawa perubahan yang besar terutama dalam bidang penulisan. Penulisan telah menjadi perantaraan terpenting dalam penetapan pencatatan, pengajaran dan penghebahan sehingga ia berkembang luas. Selepas hijrah nabi, seni khat telah menjadi manifestasi bagi suatu perubahan yang agung mengatasi perkembangannya selama tiga abad selepas itu. Penurunan surah al-Alaq ayat 1-5 kepada junjungan mulia Nabi Muhammad telah menjadi titik tolak kepada penulisan. Penulisan telah menjadi penting apabila ia digunakan untuk menulis ayat-ayat suci Al-Quran dan terpelihara sehingga kini. Kemudian turun pula ayat-ayat lain yang sering mengaitkan penulisan dengan sumber ketuhanan dan memerintahkan penggunaannya sehinggalah tulisan mendapat kedudukannya dalam kehidupan umat Islam sebagai salah satu keperluan asas. 

Pada zaman Nabi Muhammad, baginda memerintahkan para sahabat merakamkan semua maklumat dengan tulisan dan mewasiatkan mereka memelihara tulisan tersebut. Baginda menggesa mereka mengajar anak-anak mereka membaca dan menulis. Rasulullah s.a.w juga pernah mengarahkan setiap tawanan perang Badar yang baik tulisan dan bacaannya supaya mengajar anak-anak orang Islam seramai 10 orang sebagai bayaran penebusan diri mereka. 

Pada zaman Khulafa’ al-Rasyidin penulisan semakin bertambah dengan meluasnya penggunaan tulisan dalam urusan-urusan agama, pentadbiran dan mu’amalat harian. Zaman pemerintahan Khalifah Umar bin al-Khattab r.a. (13-23H / 634-644M), sekolah-sekolah didirikan dan guru-guru dilantik. Apabila para penghafal Al-Quran semakin berkurangan disebabkan syahid di medan peperangan pada zaman pemerintahan Khalifah Abu Bakar al-Siddiq, beliau telah mengarahkan Zaid bin Thabit mengumpul dan menulis al-Quran.

Pada zaman Khalifah Uthman bin Affan r.a. (23-53H / 644-656M) timbul berbagai cara membaca al-Quran, maka beliau mengambil lembaran-lembaran yang dicatat oleh Zaid bin Thabit dan diletakkan dalam simpanan Hafsah binti Umar r.a. Khalifah Uthman bin Affan telah mencatatkan sebuah mushaf yang dikenali sebagai Mushaf al-Imam. Beliau telah mengarahkan Zaid bin Thabit, Abdul Rahman bin Amru al-Asr, Abdullah bin al-Zubir, Ibn al-Abbas dan Abdul Rahman bin al-Harith bin Hisham supaya menyalin semula naskhah untuk dihantar ke seluruh pelusuk negeri. 

3. Zaman Pemerintahan Bani Umaiyah 

Pada zaman Bani Umaiyah, khat mula berkembang maju. Bentuk tulisan pada ketika itu lebih lembut mempunyai nilai estetika yang tinggi. Tanda titik dan baris mula diperkenalkan untuk memudahkan orang-orang ajam (selain bangsa Arab) mengenali tulisan Arab. Ziad (Dato’ Bandar Basrah) merupakan penulis wahyu Rasullullah meminta Abu Aswad al-Du’ali meletakkan tanda titik pada tahun 45 Hijrah, kemudian perletakan baris disempurnakan oleh al-Khalil bin Ahmad al-Farahidi. Disamping itu penggunaan kertas yang terkenal dengan nama ‘kertas Syami’ adalah salah satu langkah positif dalam usaha meningkatkan penulisan seni khat.

Khalifah Umaiyah telah berusaha untuk menyatukan penulis khat dengan memberikan kedudukan istimewa kepada mereka. Pemerintahan Umaiyah di Syam (Syria) merupakan pemerintah yang mula-mula sekali menekankan penggunaan tulisan khat. Pemerintah Umaiyah telah mengambil langkah mengembangkan seni khat semenjak mula lagi dengan menggunakan ukiran di marmar dan lantai batu berbunga, ukiran huruf dan bunga-bunga di masjid, umpamanya kubah Masjid Baitul Maqdis, Masjid Umawi di Damsyiq, Istana Khiar dan Istana Jusaq. Manakala golongan yang kaya pula berusaha menghiasi al-Quran dengan menjilidkannya serta menghiasi dinding-dinding istana dengan tulisan-tulisan khat yang indah. 

4. Zaman Pemerintahan Abbasiyah

Terdapat dua tokoh yang terkenal iaitu al-Dhahlaq bin Ajalan semasa pemerintahan Abu al-Abbas al-Saffah dan khattat Ishaq bin Hammad pada masa pemerintahan khalifah al-Mansur dan al-Mahdi. Pada zaman pemerintahan kedua-dua khalifah, terdapat sebelas jenis khat, antaranya: 

  • Khat Al-Sijillat
  • Khat Al-Jalil 
  • Khat Al-Dibaj 
  • Khat Al-Tumar 
  • Khat Al- Thuluthain 
  • Khat Zanbur (dari Thaqil Thuluth) 
  • Khat Al-Mufattah 
  • Khat Al-Mudammirat 
  • Khat Al-Uhud (dari khat Al-Haram) 
  • Khat Al-Qasas 
  • Khat Al-Khirfaj (dari khat Dibaj)  

Keindahan seni khat telah sampai ke kemuncaknya pada tahun 300 Hijrah di tangan ‘bapa’ khat Arab, iaitu Abu Ali Muhammad bin Muqlah, merupakan seorang penulis, penyair, khattat (penulis khat) dan seorang menteri di Baghdad (272-328H / 885-939M). Beliau mempelajari khat daripada Al-Ahwal al-Muharral dan merupakan orang yang pertama mencipta kaedah menilai penulisan khat dengan menggunakan alif sebagai asas penentuan bentuk huruf, maka terhasillah daripadanya khat yang indah dengan kaedah yang mantap ini dan seterusnya berkembang di timur dan barat.

5. Zaman Kerajaan Fatimiyah  

Pada tahun 259-566 Hijrah, berbagai usaha telah dijalankan untuk meningkatkan kehebatan seni khat melalui pendekatan pengindahan pada istana-istana, singgahsana, peralatan rumah, hadiah atau barangbarang antik mereka. Pusat seni khat di Mesir atau dikenali sebagai Dewan Insya’ di ketuai oleh seorang penulis yang handal dan diberikan gelaran sebagai ‘Dastus-Syarif’. Kerajaan Fatimiyah sentiasa memberikan perhatian kepada seni khat terutamanya pada zaman Kerajaan al-Ayubi dan kerajaan Mamluki. 

6. Zaman Pemerintahan Kerajaan Turki 

Antara langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan Turki untuk memperindah dan mengembangkan seni khat ialah : 

a. Masyarakat memberikan penilaian yang tinggi kepada seni khat, kerana penulis khat berperanan menulis al-Quran, menyalin penulisan sastera dan syair dengan indah berilhamkan ayat-ayat alQuran dan Hadis.

b. Kerajaan Turki telah menggunakan pelbagai jenis khat dalam pentadbiran kerajaan, urusan diraja dan ketenteraan. Dalam kurun kesebelas hijrah umpamanya, terdapat lebih kurang 30 jenis tulisan. 

c. Pemerintahan Kerajaan Turki amat menyanjungi tokoh khat dan seni khat. Ini terbukti apabila penulis buku Mira’tul-Haramain (Cermin Dua Tanah Haram) mengatakan: “Penulis khat sultan mendapat gaji sebanyak 400 lera emas Uthmaniyah sebulan”. 

d. Kerajaan Uthmaniyah menonjolkan seni khat sebagai satu ciri publisiti untuk mengukuhkan dasar pemerintahan terhadap rakyat. Di masjid agung Bursyah, Turki umpamanya terdapat slogan berbunyi “Sultan adalah bayangan Allah s.w.t di muka bumi”, dengan ukuran empat meter persegi. Demikian juga terdapat pelbagai slogan di dalam masjid yang lain di Istanbul bertujuan sebagai publisiti kepada sultan. Antaranya ungkapan “pemerintahan yang memberi ilham”, “doa sultan sumber keampunan”, dan lain-lain lagi. 

e. Gereja-gereja banyak dihiasi dengan patung-patung dan gambargambar, lalu kerajaan Uthmaniyah menampilkan imej Islam melalui pendekatan menghiasi masjid-masjid dengan tulisan khat. Tulisan khat juga diabadikan untuk memperindah tembok-tembok istana, kolam mandi, bangunan di perkuburan, air pancutan, peralatan, barang-barang kemas dan pakaian. 

f. Islam menolak penggunaan bentuk tulisan dan gambar. Ini memberikan cabaran kepada mereka yang mempunyai bakat seni dalam dirinya untuk menggambarkan aspirasinya. Dengan ini membuka ruang yang luas kepada seni khat mengambil alih tugas tersebut. 

By Mudir

Segala informasi terkait ma'had Al-Jamiah UIN SiberSyekh Nurjati Cirebon

4 thoughts on “Pengenalan Khat”

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *