-
Khat Thuluth
Dinamakan Thuluth kerana huruf menegaknya ditulis dengan mata pen (qalam) yang ukuran lebarnya menyamai 1/3 (thuluth) mata pen. Khat ini merupakan khat yang paling sukar dibandingkan dengan tulisan khat yang lain dari segi kaedah, ukuran, gaya memperelok atau kemampuan untuk menghasilkan tulisan yang tepat ukiran dan seninya. Digunakan dalam menghiasi bangunan ruang-ruang dinding dan kubah di masjid-masjid.
-
Khat Farisi
Nama khat ini diambil daripada daripada perkataan bahla iaitu sebuah tempat yang terletak antara Hamazan, Asfahan dan Azerbaijan. Khat Farisi dicipta oleh Mir Ali Al- Tibrazi dan kemudianya diperindahkan oleh Imaduddin Al- Syirazi. Ia digunakan dengan meluas oleh masyarakat Iran yang diketahui sejak dahulu amat berminat dengan kesenian yang merupakan warisan turun temurun datuk nenek mereka. Mereka begitu mahir dan cekap dari segi penggunaannya sehingga menjadikan tulisan tulisan khat ini sebagai tulisan yang mempunyai ciri–ciri tersendiri pada orang Iran dan terkenal sehingga hari ini dengan nama Khat Farisi (iaitu nisbah kepada bangsa Iran sendiri).
Khat ini mempunyai bentuk yang cantik, hurufnya sangat menarik, tidak berbaris, tidak tersusun, sama seperti bentuk Riqa’ah. Keindahan khat Farisi terletak pada bentuk lengkungnya yang menarik, kurang garis menegak dan bentuk hurufnya yang condong ke kanan dan memanjang. Khat ini juga dikenali dengan khat Nasta’liq (iaitu gabungan antara Nasakh dan Ta’liq).
-
Khat Riq’ah
Sejenis khat yang direka cipta oleh orang Turki pada zaman kerajaan Uthmaniyah (850H). Tujuan khat ini dicipta ialah untuk menyeragamkan tulisan dalam semua urusan rasmi di kalangan kakitangan kerajaan. Menurut Kamus Bahasa Riqa’ah bermaksud cebisan kertas yang ditulis.
Ciri tulisan ini ialah bentuk huruf yang kecil, lebih cepat dan mudah ditulis, jika dibandingkan dengan khat nasakh. Penggunaan khat ini dalam masyarakat kita tertumpu pada penulisan nota dan tulisan. Beberapa langkah telah diambil untuk menjadikan khat ini dapat dipelajari oleh murid-murid sekolah dan dapat digunakan dalam urusan harian seperti urusan surat menyurat, urusan perniagaan, iklan dan promosi barangan serta dijadikan tajuk-tajuk besar dalam akhbar.
-
Khat Kufi
Nama Kufi diambil sempena nama sebuah bandar iaitu al-Kufah di Mesopotamia. Bentuk hurufnya adalah tegak dipercayai diambil dari cara perbarisan askar-askar Mesopotamia. Bentuknya yang lurus dan tegak amat sesuai diukir di mozek-mozek, jubin dan batu pada bangunanbangunan seperti masjid dan di kota-kota. Pada awalnya, tulisan ini digunakan sebagai tulisan al-Quran.
-
Khat Nasakh
Khat Nasakh berkembang daripada bentuk yang kaku kepada bentuk yang terkini sejak zaman Nabi Muhammad s.a.w. Khat ini telah sampaik kepada orang Arab Hijaz dan digunakan di jabatan-jabatan kerajaan dalam urusan surat-menyurat pada zaman permulaan Islam.
Semasa pemerintahan kerajaan Abbasiyah kurun ketiga dan keempat ahli sejarah menjelaskan khat ini bertambah baik bentuknya apabila khattat Ali bin Muqlah (tahun 272-328H) telah mencipta kaedah penulisan Khat Nasakh. Pada zaman Atabikah (545H), khat nasakh telah diperbaiki sehingga dikenali sebagai Khat Nasakh Atabik. Digunakan untuk penulisan alQuran pada zaman pertengahan Islam menggantikan Khat Kufi Klasik.
-
Khat Diwani
Dinamakan Khat Diwani kerana digunakan sebagai tulisan rasmi di jabatan-jabatan kerajaan. Tujuan dicipta ialah untuk menulis semua keputusan dan pekeliling pentadbiran kerajaan serta surat menyurat rasmi dan sekarang digunakan untuk menulis sijil, watikah dan tulisan hiasan. Keistimewaannya ialah terjelma dalam bentuk bundar dan melengkung. Sejenis khat yang lembut dan mudah dibentuk dan sesuai untuk penulis biasa dan senang ditulis oleh khattat.
-
Khat Diwani Jali
Khat Diwani Jali adalah tulisan khat yang popular digunakan. Khat ini dicipta pada zaman pemerintahan Kerajaan ‘Uthmaniyah’ oleh khattat Shahla Basya. Khat ini adalah kesinambungan daripada khat Diwani Biasa. Dinamakan Khat Diwani Jali kerana terdapat kelainan yang jelas dari segi bentuk tulisannya. Tujuan penggunaannya adalah untuk tulisan rasmi diraja dan surat-menyurat kepada kerajaan asing. Bentuk hurufnya memenuhi semua ruang kosong sehingga membentuk satu ciptaan berupa geometri yang tersusun indah.