Khat Nasakh berkembang daripada bentuk yang kaku kepada bentuk yang terkini sejak zaman Nabi Muhammad s.a.w. Khat ini telah sampai kepada orang Arab Hijaz dan digunakan di jabatan-jabatan kerajaan dalam urusan surat-menyurat pada zaman permulaan Islam. Semasa pemerintahan kerajaan Abbasiyah kurun ketiga dan keempat ahli sejarah menjelaskan khat ini bertambah baik bentuknya apabila khattat Ali bin Muqlah (tahun 272-328H) telah mencipta kaedah penulisan Khat Nasakh. Pada zaman Atabikah (545H), khat nasakh telah diperbaiki sehingga dikenali sebagai Khat Nasakh Atabik. Digunakan untuk penulisan alQuran pada zaman pertengahan Islam menggantikan Khat Kufi Klasik.